BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Thursday, February 11, 2010

APA ITU HARI VALENTINE???

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine's Day mula membudaya di kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi sekitar akhir tahun 1980an beriringan dengan siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan atau filem bertemakan perayaan tersebut.

Perayaan ini semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui pelbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai hari berkasih sayang yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cintadan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi.

Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat yang dianggap romantik di mana setiap pasangan itu memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ' I wish you will be my valentine' kepada orang yang dikasihi.

Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian,tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat hedonisme (mengikut hawa nafsu).

Kebelakangan ini, pesta perayaan hari kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral. Mereka menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.

Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku hussain dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk 'Apa dihairankan dengan parti buih'. Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa ke atas 'parti buih' di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena hari kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa masjid Abu Bakar As-Siddiq Bangsar.

Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama 'Valentine's Special'. Disamping itu,didapati mereka juga sangat sibuk memilih kad-kad ucapan Hari kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing.

Pihak hotel pula menawarkan pakej yang istimewayang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.

Bagi merungkaikan isu ini ialah mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan?

Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom iaitu Valentinus yang berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud kuat,aktif,sihat dan sebagainya.

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februeri 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, pada tarikh 14 februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan Hari Valentine.

Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 februari 270 Masihi, St Valentine telah dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat dengan peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia.

Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret yang akhirnya dia dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan juga kepasrahan dalam menghadapi cabaran hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian ST. Valentine sebagai satu upacara keagamaan.

Manakala pendapat ketiga pula mangatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintajan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.

Apabila St. Valentine telah menyatakan hasrat hatinya untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, maka timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.

Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan untuk berkahwin juga dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu Isabella menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.

Sejarah di atas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.

Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, ECumenical Christian Website. A resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definitions of Religious Holy Days dibawah indeks Saint Valentine's Day menyebut bahawa: "Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a third century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love".

Maksudnya: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan pengikut Kristian, St Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.

Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di gereja ST John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid. Ianya merupakan servis istimewahari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di nruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan 'Corpus St. Valentine Martyris'.

Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka meletakkanya di dalam keranda kayu di atas alamri berhampiran rumah gereja.

Dalam pada itu,nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja Roman Katoloik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania. St Valentine's Catholic Church di Peru dan St Valentine Church di Buffalo, New York.

Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal yang melibatkan akidah Islam.

Firman Allah SWT: " Katakanlah (Wahai Muhammad) Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah ( Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat cara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat cara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku": (Al-Kafirun:1-6)

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW : 'Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak".(HR Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini Panel Kajian Akidah dan panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah nenutuskan bahawa 'Amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam".

Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang Islam.

"Perdalamkanlah ilmumu sebelum memimpin kerana apabila sudah menjadi pemimpin engkau tidak mempunyai jalan lagi untuk mendalami ilmu"(Wasiat Imam Syafie R.A)

0 comments: