BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Thursday, February 11, 2010

DIDIKLAH ISTERI

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah membekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional,tidak terlalu emosional atau tidak mudahdidorong oleh perasaan. Oleh sebab itulah lelaki dikurniakan sembilan akal dan satu nafsu. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah,maka suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa

Bermulanya kebahagiaan sesebuah keluarga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi karenah dan ragam isteri.

Satu pendapat mengatakan bahawa lelaki adalah makhluk akal dan wanita pula makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Lantaran itulah lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir dalam menghadapi wanita. Kalau umpamanya isteri sedang berduka,suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Disinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan satu akal berbanding dengan lelaki yang sebaliknya. Nafsu yang dimaksudkan ialah nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah tidak sabar,pemarah,pemboros dalam berbelanja, dan sebagainya. Hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Atas dasar inilah wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindakannya tidak melulu dan mengikut perasaan.

Kebijaksanaan mesti disertai dengan kesabaran. Keduanya perlu ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut sahaja kemahuan isteri. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri. Tanpa kesabaran seseorang itu akan hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang.

Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum wanita, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Bagaimanapun kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan adalah kaum yang lemah. Oleh sebab itu, kaum lelaki mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.

Apa yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata indah atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih.

Kaum wanita kebiasaannya suka berleter mengikut pandangan lelaki. Suami yang bijak akan berdiam diri dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah ditunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut.
Maknanya isteri yang sedang berleter jangan dinasihati dahulu. Tunggulah keadaan menjadi reda barulah boleh dinasihati. Nasihat pula mestilah kena pada tempatnya supaya isteri menerima dan merasa sejuk seperti disirami embun pagi.

Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak karenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Isteri begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan ragannya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah bahkan dia berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya.

" Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah isteri yang solehah"

Apabila wanita dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan membahagiakan seluruh alam.

0 comments: