BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Wednesday, June 23, 2010

PERGINYA SEORANG PERINDU SEPI

             Desiran air sungai berlari lembut melintasi redup pepohonan rimba. Kicauan unggas membawa rentak alam yang mendamaikan suasana. Namun sepi dihati insan itu masih belum terubat lantaran peristiwa kelam. Jauh dia memandang ke hulu anak sungai seolah ada kisah yang pernah terlakar. Sekian lama dia cuba mengingati wajah insan yang pernah menjadi penghibur setia bagi dirinya. Kasih yang mendalam terhadap insan itu tidak pernah pudar biarpun detik-detik masa kian berlalu. Kisah yang sentiasa terpahat di hati selagi hayat memenuhi jasad, sebelum jasad dimamah bumi.

Wednesday, June 9, 2010

NUKILAN HATI

Tika mata... diuji manisnya senyuman..
terpamir rasa menuju harapan..
dan seketika terlontar ke dunia khayalan..
hingga terlupa singgah perjalanan..
tersedar aku... dari terlena...
dibuai lembut belaian cinta...
rela aku pendamkan impian yg tersimpan,
enggan ku keasyikan...
ku sangka keindahan merampas rasa cinta
pada DIA yg lebih sempurna..
bukan mudah... bernafas dalam jiwa hamba...
dan kucuba... menghindarkan pesona maya...
ternyata tak upaya ku hadapinya...
andai murka menghukum mereka...
di atas nama cinta pada yg selayaknya ku nafikan yg fana...
moga dalam hitungan setiap pengorbanan...
agar di suluh cahaya... redhaNYA...
BIAR SENDIRI HINGGA AKHIRNYA...
asal tak lepas dari kasihnya...
kerana sesungguhnya hakikat cinta...
hanya DIA yang Esa...
Di atas nama cinta pada yg selayaknya,
ku nafikan yang fana...
moga dalam hitungan setiap pengorbanan
agar disuluh cahaya Redhanya...
SARATKAN HATI DENGAN CINTA HAKIKI SEHINGGA KURASAI... NIKMATNYA...SYURGANYA... CINTANYA...

Thursday, May 6, 2010

sajak buat pejuang Hizbul Muslimin

Wednesday, March 17, 2010

GAGASAN 1MALAYSIA SATU PENDEKATAN ATAU SEKADAR SLOGAN

           

            Pening kepala Pena memikirkan tentang gagasan 1malaysia ni. Tak tahu apa yang cuba dibuktikan oleh kerajaan persekutuan. Dimana sahaja Pena pergi slogan ini dilaungkan dengan megah dan dibanggakan oleh YAB Perdana Menteri. Benarkah apa yang diperjuangkan oleh Dato-Dato dan Datin-Datin sekalian. Betulkah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Lucu juga Pena bila ada ahli MT Umno melaungkan slogan yang berbeza... ahli MT tersebut dengan yakin berkata sebegini 'rakyat didahulukan, prestasi diutamakan'... pelik juga macam mana nak rakyat menghayati gagasan 1Malaysia ni andai ahli MT Umno sendiri melaungkan slogan yang berbeza.

            Macam-macam kerenah Dato-Dato dan Datin-Datin yang menjadi ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri. Nak dijadikan cerita... ada satu program membersihkan tanah perkuburan dijalankan di kawasan parlimen Pena. Dato-Dato sekalian tak nampak bayang-bayang waalaupun sudah diberitahu berkali-kali. Entahlah... mungkin Dato-Dato sekalian sangat sibuk menbincangkan isu Palestin agaknya. Selang 2 hari sambutan tahun baru diadakan di sebuah taman tasik... herannya Pena bila nampak kelibat Dato-Dato ahli Yang Berhormat berpusu-pusu ke program tersebut. sejak petang sampai larut malam sabar menanti melihat persembahan artis-artis jemputan. Pelik juga Pena dengan keadaan ini... Pena bukan nak terlibat pun dengan program sambut tahun baru tapi lantaran tanggungjawab Pena bersama-sama jabatan agama membuat operasi memberi nasihat kepada adik-adik remaja yang berkeliaran  berpasang-pasangan.

             Pena tertanya-tanya juga,mengapa program membersihkan kubur disambut hambar oleh ahli-ahli Yang Berhormat. Mungkin mereka gerun agaknya melihat kubur yang akan jadi tempat persinggahan mereka. Ahli-ahli Yang Berhormat fikirkanlah apa yang Pena nak sampaikan ni. Setiap benda yang bernyawa pasti merasai mati. Tak payahlah nak nafikan... kumpul harta banyak-banyak di dunia kalau tidak membantu rakyat tak guna juga. Anak-anak yatim ramai... bantu-bantulah sekadar yang mampu. Ingatlah bahawa ahli-ahli Yang Berhormat adalah 'wakil kepada rakyat' bukan tuan kepada rakyat. Tak usahlah nak bermegah-megah pula.

              Itu satu hal. Banyak juga yang terlintas di minda Pena ni. Ahli-ahli Yang Berhormat kata mereka berjiwa rakyat. Dimana jiwa rakyat tu? Bila ada program dengan rakyat mengapa lauk 'santapan' Dato-Dato berlainan sekali.Kalau dah berjiwa rakyat 'santap' la makanan yang rakyat makan. Rakyat makan nasi dengan gulai ikan masin... Dato-Dato makan ayam golek. Mana slogan 'rakyat didahulukan'.Tak perlulah nak tegaskan Dato-Dato berjiwa rakyat andai apa yang Dato-Dato lakukan tak mencerminkan langsung dengan apa yang dikata.

               Pena tertarik juga dengan slogan 'pencapaian diutamakan'. Tapi boleh tercapai ke andai menteri-menteri pun tak mahir dalam kementerian masing-masing. Lawak juga Pena tengok Menteri Belia dan Sukan sekarang. Memasang angan-angan dan mengerahkan semua ahli sukan berusaha keras untuk memenangi pelbagai kejohanan. Setakat bercakap adik Pena di kampung pun boleh cakap. Teringat debat antara menteri ni dengan Datuk Seri Anwar suatu ketika dulu,sudahla tidak menjawab soalan... malah bertentangan dengan tajuk. Boleh tercapai ke apa yang diangankan kalau dikelola menteri sedemikian.

                Kalau betul Dato-Dato sekelian nak buktikan bahawa kalian semua betul-betul menjaga kebajikan rakyat,Pena cabar semua ahli-ahli Yang Berhormat masuk ke kampung-kampung... hidup sebagai penoreh getah dan pesawah padi ataupun nelayan selama sebulan. Makan apa yang rakyat makan,dan bekerja seperti rakyat bekerja demi sesuap nasi. Pena pernah hidup di estet kelapa sawit... ramai kawan-kawan Pena dikalangan bangsa India dan Cina. Tak pernah timbul masalah pun... waktu tu tak ada pun slogan 1Malaysia ni.

                Isu terbaru ni keluar pula Dato wanita kita ni. Bercakap tentang Islam... tetapi rambut begitu menyerlah berwarna perang kemerahan. Tudung tu bukan hiasan Dato...tapi untuk menutup aurat. Allah dah cipta rambut Dato yang berwarna hitam tu dah elok dah. tak perlulah nak warnakan. Dato nak perjuangkan hak sama rata antara lelaki dan perempuan... sebenarnya Dato sendiri merendahkan martabat seorang wanita. Tahukah Dato hak wanita di sisi Islam lebih banyak daripada lelaki. Salah satunya yang tidak dikurniakan kepada lelaki ada pada diri wanita. Anggota badan wanita yang dikurniakan dengan salah satu nama Allah Yang Mulia iaitu 'rahim'. Pena nak beritahu yang 'rahim' tu hanya dikurniakan kepada wanita. Tak bersyukur ke dengan apa yang Allah kurniakan kepada wanita. Allah tidak akan kurniakan sesuatu dengan namanya Yang Mulia kepada sesuatu yang hina di sisiNya. Begitu besar anugerah Allah kepada wanita... Dato pernah ambil tahu ke?

                Pena minta maaf tak dapat nak teruskan,waktu solat zuhur dah tiba...berhenti buat seketika,Pena tak pasti boleh sambung semula artikel ini atau tidak. Maklumlah, adat penulis terkadang terlupa... wassalam

Sunday, March 14, 2010

WARKAH BUAT TUAN BANGSAWAN

Tuan Bangsawan
Kau segak berpakaian mewah
Sedang anak bangsa mengemis gundah
Kau lantang melaungkan demokrasi
Tetapi kau laksanakan modul kuku besi

Propagandamu merangkumi seluruh media massa
Pembohonganmu tidak mngenal bangsa
Katamu kau berjuang demi agama
Ternyata semuanya dusta belaka
Kerana kau sebenarnya mengejar harta

Cukuplah
Kami bukan boneka
Begitu mudah untuk kau perdaya
Biarpun kami anak desa
Namun kami sudah celik minda

Aduhai Tuan Bangsawan
Jangan kau lupa usulmu
Megah dirimu tidak kekal selamanya
Maafkan kami andai suatu hari
Kau tersungkur menyembah bumi
Kerana kami siswa dan siswi
Pencetus satu revolusi

Dulu
Lagakmu seorang budiman
Andai kau berdusta di desa
Segalanya akan diterima
Tanpa persoalan dan banyak bicara
Kau anggap desa ini buta
Begitu mudah untuk kau perguna

Kini
Katamu disulam bicara indah
Kau mula merasa goyah
Hingga sanggup menabur fitnah
Konsepmu pecah dan perintah
Namun tiada lagi sokongan
Yang menyusul hanya penentangan

-Pena Ilmi-

Wednesday, March 10, 2010

Realiti Umat Islam Kini

Bismillahir Rahmanir Rahim

          Sekadar perbandingan di atas sebuah kenangan. Realiti umat Islam sekarang yang semakin jauh daripada ajaran Islam. Sembang-sembang bersama seorang paderi Kristian di sebuah IPTA di Serdang membuka minda ana. Ana melihat daripada segi adab yang ditunjukkan oleh seorang penganut agama Kristian. Beliau memberi layanan yang begitu baik terhadap tetamu tanpa mengira agama. Berbeza dengan realiti masyarakat Islam yang kebanyakannya sering berprasangka . Bukanlah niat untuk membandingkan tetapi kenyataannya umat Islam kini ternyata terlalu mundur daripada segi akhlak dan moral. 

          Sepanjang berdialog,tidak pernah beliau mengemukakan persoalan untuk mengajak atau memujuk tetamu-tetamunya untuk menganuti Kristian. Kebanyakan dialog berkisar mengenai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kepada masyarakat. Ana mengagumi semangat beliau yang sanggup meredah hutan belantara demi membantu masyarakat di kawasan pendalaman. Tidak hairanlah begitu ramai masyarakat di kawasan tersebut menganuti agama Kristian. Tetapi umat Islam kini hanya lantang mengatakan mereka merupakan pembela agama sedangkan apa yang mereka lakukan hanyalah untuk kepentingan peribadi semata-mata.

           Sedarkah kita berapa ramai muallaf yang kembali menganuti agama asal lantaran diskriminasi masyarakat kepada mereka. Tidak ramai umat islam yang membantu atau membimbing muallaf-muallaf ini. Kita dengan bangga menerangkan mengenai Islam tetapi contoh teladan yang kita tunjukkan amat berbeza dengan ajaran Islam. Sedarkah kita Rasulullah SAW mengembangkan agama Islam dengan menunjukkan contoh peribadi yang baik. Sesungguhnya peribadi Rasulullah SAW adalah cermin kepada Al-Quran.
           
          Umat Islam kini berlumba-lumba mencantikkan masjid sedangkan kebajikan masyarakat kurang bernasib baik di kawasan sekitar sering diabaikan. Terdapat segelintir pemimpin masyarakat Islam berbangga kononnya mereka memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi dalam agama. Tiada siapa boleh menyangkal apa yang mereka katakan dan andai ada yang menyangkal orang itu dikatakan ingin menyesatkan. Pernah seorang jemaah tabligh melemparkan tuduhan mengatakan ana membawa ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam lantaran tidak bersetuju dengan pendapat beliau. Beliau mengatakan kita hanya perlu berdakwah dengan merujuk kepada kitb-kitab ulama terdahulu tanpa mengkaji atau mendalami kitab-kitab tersebut. Ini kerana beliau berpendapat ana hanya membuang masa dengan mengkaji kitab-kitab tersebut. Betapa sedihnya ana pada waktu itu namun ana memberikan satu persoalan kepada beliau.


          Memang benar ulama-ulama terdahulu sudah membuat kajian... tetapi... adakah kita memahami apa yang diperkatakan sedalam-dalamnya. Al-Quran contohnya merupakan mukjizat Rasulullah SAW yang masih kekal, tetapi berapa ramai yang membaca. Umat Islam kini tidak semuanya boleh membaca Al-Quran sedangkan orang bukan Islam membuat kajian mendalam terhadap ilmu yang ada di dalamnya. 

           Kita membaca Al-Quran tetapi tidak ramai yang memahami,jika memahami kita tidak mengamalkan, jika mengamalkan namun hanya sebahagian. Al-Quran akan kekal,tetapi orang-orang yang berilmu mengenai Al-Quran akan pergi meninggalkan kita. Allah SWT menghapuskan ilmu di dunia ini bukanlah dengan menghapuskan kitab-kitab, tetapi Allah SWT menghapuskan ilmu di dunia ini dengan mematikan orang-orang yang arif . Dan akhirnya tinggallah manusia yang jahil di muka bumi ini yang membuat tafsiran ilmu berdasarkan hawa nafsu dan menyesatkan sebahagian yang lain.

         Lihatlah dunia sekarang, pemimpin dipilih bukan berdasarkan ilmu tetapi berdasarkan pandai bercakap. Mereka menjadi pemimpin di dalam sesuatu yang mereka sendiri tidak mempunyai ilmu mengenainya. Menteri Belia dan sukan bukan dikalangan ahli sukan,Menteri Pertanian bukan dikalangan orang yang arif mengenai pertanian. Adakah cukup dengan merujuk sesuatu yang kita tidak tahu mengenainya hanya bersandarkan bahawa orang-orang sebelum ini sudah membuat kajian.Mari kita renungkan bersama...


Sunday, March 7, 2010

KASIHILAH ANAK-ANAK YATIM

Bismillahir Rahmanir Rahim

    Sebuah kisah kehidupan yang baru ana alami. Ketika ana mengunjungi sebuah bank di pusat bandar kamunting, terlihat sekumpulan anak yatim yang berlegar-legar di hadapan bank membawa beberapa  barangan untuk dijual. Betapa sedihnya ana melihat mereka kerana mereka terdiri daripada kanak-kanak yang seharusnya menumpukan pelajaran di sekolah. Namun apa yang ingin ana tekankan di sini bukanlah mengenai apa dan sepatutnya mereka tumpukan pada usia sebegitu tetapi sikap orang kita terhadap mereka yang amat ana kesalkan.

Kemanakah hilangnya sifat kasih kita kepada anak-anak yatim sehinggakan mereka dihina dan dicerca. Andai tidak dapat membantu usahlah ditambah dengan sikap kasar. Sesungguhnya Rasulullah SAW amat mengasihi anak-anak yatim. Siapalah kita ini untuk menggelar anak-anak yatim dengan pelbagai panggilan yang menyakitkan hati. Adakah kita merasakan diri kita begitu mulia sehingga sanggup mengguris hati insan-insan yang sudah kehilangan ibu dan ayah ini. Tidak takutkah kita akan balasan Allah SWT kepada kita atas penghinaan yang kita lemparkan kepada insan-insan ini. Andai kita tidak mahu membantu ataupun tidak mampu,sekurang-kurangnya doakanlah kesejahteraan mereka.

Dimanakah umat Islam yang prihatin? Kita sanggup berbelanja ratusan ringgit sebulan untuk hiburan tetapi mengapa untuk membantu anak-anak ini begitu sukar sekali kita melakukannya. Ketahuilah andai semua umat Islam di bumi Malaysia ini bersatu dengan memberi sumbangan sebanyak RM1 setiap bulan ianya sudah cukup untuk menampung semua rumah anak-anak yatim ini selama setahun.

Mengapa kita tidak pernah berfikir jika suatu hari anak-anak kita menjadi yatim setelah ketiadaan kita,apakah perasaan kita andai insan lain menghina mereka sepertimana kita lakukan sekarang. Ingatlah bahawa doa anak-anak yatim amat dimakbulkan oleh Allah SWT. Bantulah semampu yang mungkin kerana tidak mustahil suatu hari anak-anak ini menjadi pembantu kita di akhirat kelak di saat kita berhadapan dengan Maha Esa untuk dihisab segala amalan kita di dunia. Renungkanlah...