BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Wednesday, March 10, 2010

Realiti Umat Islam Kini

Bismillahir Rahmanir Rahim

          Sekadar perbandingan di atas sebuah kenangan. Realiti umat Islam sekarang yang semakin jauh daripada ajaran Islam. Sembang-sembang bersama seorang paderi Kristian di sebuah IPTA di Serdang membuka minda ana. Ana melihat daripada segi adab yang ditunjukkan oleh seorang penganut agama Kristian. Beliau memberi layanan yang begitu baik terhadap tetamu tanpa mengira agama. Berbeza dengan realiti masyarakat Islam yang kebanyakannya sering berprasangka . Bukanlah niat untuk membandingkan tetapi kenyataannya umat Islam kini ternyata terlalu mundur daripada segi akhlak dan moral. 

          Sepanjang berdialog,tidak pernah beliau mengemukakan persoalan untuk mengajak atau memujuk tetamu-tetamunya untuk menganuti Kristian. Kebanyakan dialog berkisar mengenai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kepada masyarakat. Ana mengagumi semangat beliau yang sanggup meredah hutan belantara demi membantu masyarakat di kawasan pendalaman. Tidak hairanlah begitu ramai masyarakat di kawasan tersebut menganuti agama Kristian. Tetapi umat Islam kini hanya lantang mengatakan mereka merupakan pembela agama sedangkan apa yang mereka lakukan hanyalah untuk kepentingan peribadi semata-mata.

           Sedarkah kita berapa ramai muallaf yang kembali menganuti agama asal lantaran diskriminasi masyarakat kepada mereka. Tidak ramai umat islam yang membantu atau membimbing muallaf-muallaf ini. Kita dengan bangga menerangkan mengenai Islam tetapi contoh teladan yang kita tunjukkan amat berbeza dengan ajaran Islam. Sedarkah kita Rasulullah SAW mengembangkan agama Islam dengan menunjukkan contoh peribadi yang baik. Sesungguhnya peribadi Rasulullah SAW adalah cermin kepada Al-Quran.
           
          Umat Islam kini berlumba-lumba mencantikkan masjid sedangkan kebajikan masyarakat kurang bernasib baik di kawasan sekitar sering diabaikan. Terdapat segelintir pemimpin masyarakat Islam berbangga kononnya mereka memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi dalam agama. Tiada siapa boleh menyangkal apa yang mereka katakan dan andai ada yang menyangkal orang itu dikatakan ingin menyesatkan. Pernah seorang jemaah tabligh melemparkan tuduhan mengatakan ana membawa ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam lantaran tidak bersetuju dengan pendapat beliau. Beliau mengatakan kita hanya perlu berdakwah dengan merujuk kepada kitb-kitab ulama terdahulu tanpa mengkaji atau mendalami kitab-kitab tersebut. Ini kerana beliau berpendapat ana hanya membuang masa dengan mengkaji kitab-kitab tersebut. Betapa sedihnya ana pada waktu itu namun ana memberikan satu persoalan kepada beliau.


          Memang benar ulama-ulama terdahulu sudah membuat kajian... tetapi... adakah kita memahami apa yang diperkatakan sedalam-dalamnya. Al-Quran contohnya merupakan mukjizat Rasulullah SAW yang masih kekal, tetapi berapa ramai yang membaca. Umat Islam kini tidak semuanya boleh membaca Al-Quran sedangkan orang bukan Islam membuat kajian mendalam terhadap ilmu yang ada di dalamnya. 

           Kita membaca Al-Quran tetapi tidak ramai yang memahami,jika memahami kita tidak mengamalkan, jika mengamalkan namun hanya sebahagian. Al-Quran akan kekal,tetapi orang-orang yang berilmu mengenai Al-Quran akan pergi meninggalkan kita. Allah SWT menghapuskan ilmu di dunia ini bukanlah dengan menghapuskan kitab-kitab, tetapi Allah SWT menghapuskan ilmu di dunia ini dengan mematikan orang-orang yang arif . Dan akhirnya tinggallah manusia yang jahil di muka bumi ini yang membuat tafsiran ilmu berdasarkan hawa nafsu dan menyesatkan sebahagian yang lain.

         Lihatlah dunia sekarang, pemimpin dipilih bukan berdasarkan ilmu tetapi berdasarkan pandai bercakap. Mereka menjadi pemimpin di dalam sesuatu yang mereka sendiri tidak mempunyai ilmu mengenainya. Menteri Belia dan sukan bukan dikalangan ahli sukan,Menteri Pertanian bukan dikalangan orang yang arif mengenai pertanian. Adakah cukup dengan merujuk sesuatu yang kita tidak tahu mengenainya hanya bersandarkan bahawa orang-orang sebelum ini sudah membuat kajian.Mari kita renungkan bersama...


0 comments: