BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Tuesday, February 23, 2010

PERMATA BUAT ISTERI


Bismillahir Rahmanir Rahim

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para rasul serta para nabi. Kiriman doa buat para syuhada dan mujahid yang berjuang demi Islam.

Buat isteri serta wanita yang bakal bergelar isteri, kunukilkan sebuah coretan sebagai renungan.Kupohon kemaafan andai ada kekhilafan pada diri ini, namun kuharapkan dirimu akan mengerti akan harapan seorang suami dan lelaki yang bakal bergelar suami.

Begitu banyak persoalan yang kau pendam di hati dan semoga penjelasan ini memberi jawapan kau cari.


Wahai isteriku,
Kuhadiahkan sebutir permata untukmu bukan untuk membuktikan betapa sayangnya aku padamu. Kemilau indah permata ini bukanlah sesuatu yang berharga bagiku. Janganlah kau nilaikan permata ini dengan pandangan duniawi yang mengheret jiwa. Begitu indah ciptaan Allah SWT ini sehingga terkadang membawa manusia terjerumus ke lembah kemurkaanNya. Tetapi wahai isteriku, dirimu lebih berharga kepadaku daripada permata ini kerana kau lebih mengerti bahawa seindah perhiasan di dunia adalah seorang isteri yang solehah.

Isteriku,
Usahlah kau tanyakan betapa dalamnya kasihku kpadamu. Sungguh aku tidak mempunyai jawapan bagi persoalan itu. Tiada penjelasan yang benar-benar tepat untuk membuktikan kenyataan bahawa aku begitu mencintaimu. Aku bukanlah pujangga cinta yang mampu menyusun bicara indah bagi menyatakan perasaan kasihku kepadamu. Demi Allah, cintaku ini berputik di saat dan ketika kau kunikahi kerana aku mengharapkan cinta yang mendapat keredhaan Illahi. Kau pernah bertanyakan mengapa aku mencintaimu? Cukuplah aku katakan bahawa perasaan cintaku ini adalah satu anugerah daripada Pencipta alam semesta.

Isteriku,
Kuberdoa agar ikatan ini berkekalan hingga ke syurga. Namun siapalah diriku ini untuk mengharapkan indahnya hidup di syurga. Ketahuilah mahar sebuah syurga terlalu tinggi sehinggakan aku mungkin tidak mampu walaupun untuk bermimpikannya. Aku bukanlah pejuang seperti para sahabat... bukan jua seorang imam mujtahid, bukan pula seorang mualim. Aku hanyalah insan biasa... cuba meniti kehidupan berlandaskan syariat Yang Maha Esa walaupun terkadang diriku dihimpit sesuatu yang membawa diriku jauh daripada jalanNya. Andai itu berlaku, berilah peringatan kepadaku kerana dirimu adalah sebahagian daripadaku dan diriku pula adalah sebahagian daripada dirimu.

Seandainya penjelasan ini masih tidak memadai, jelaskanlah kepadaku akan segala persoalan yang bermain di fikiranmu agar diriku lebih mengerti.

Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat yang berkekalan kepadamu, sesungguhnya aku redha dirimu sebagai isteriku di dunia dan di akhirat... Uhibbuki Fillah Abadan Abada

1 comments:

Nurul Aina said...

Thanks pena..coretan yg sangat bermakna buat saya..thanks;-)